Imam Muda – Astro Oasis | QIMIE BLOG

You are here: » Imam Muda – Astro Oasis

Imam Muda – Astro Oasis

SEDAR atau tidak, seseorang imam punya nilai ego yang tinggi meskipun jawatan itu cenderung pada mereka yang penuh ilmu agamanya.
Mana tidaknya, imam adalah ketua yang mendahului solat secara berjemaah. Tidak kira apa pangkat seseorang, jika hadir sebagai jemaah, telunjuk si imam harus diikut walau Raja atau Perdana Menteri sekalipun.

Namun pernahkah kita mengambil peduli siapa imam yang mengetuai kita ketika bersolat meskipun peranannya sungguh besar dalam memimpin seluruh jemaah? Tanya sekali lagi pada diri sendiri, adakah kita tahu akan kepentingan seseorang imam itu? Yang lebih membentuk persepsi pada seseorang imam itu selain lontaran vokalnya yang jelas dan merdu, imam lebih mencerminkan seorang lelaki berusia yang menyorong basikal, berkain pelikat dan memakai serban. Orangnya konservatif dan tidak tahu berkomunikasi global.

Bagaimanapun, kini tiba masanya untuk imej yang selama ini melekat pada individu bergelar imam ini perlukan pendedahan.

Rasa girang dalam kehangatan menerbitkan program hiburan yang bersifat duniawi tidak sesekali membuat Astro terlepas pandang senario itu. Justeru, Imam Muda muncul memperkenalkan realiti sebenar seorang imam.

Program yang dipimpin Penerbit Eksekutif berpengalaman, Nizam Hamid ini bukan saja segar daripada konsep dan persembahannya, malah perspektif garapan nilai ilmuan seorang imam bakal terungkap dalam bentuk program televisyen.

Judulnya saja sudah mencerminkan plot keseluruhan program. Pencarian Imam Muda yang punya kredibiliti tertentu seperti bijak berkomunikasi, punya vokal memukau, ilmu pengetahuan yang luas, sihat tubuh badan serta tidak buta bahasa Arab dan Inggeris bakal disatukan di bawah satu asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami hal keagamaan dan kepemimpinan Islam daripada tokoh agama, pendakwah serta pemimpin Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Imam Muda bakal memberi nafas baru pada program terbitan anak tempatan selain mampu memartabatkan peranan imam pada skala lebih luas.

Malah Izelan yakin akan keberkesanan program ini dalam membentuk tokoh imam daripada generasi muda yang berkarisma untuk memimpin anak remaja hari ini ke jalan lebih baik.

“Imam Muda muncul pada masa yang sangat tepat, di mana jati diri seseorang Islam itu semakin tenat dan sakit. Bayangkan, hari ini isu pembuangan bayi dan bunuh-membunuh menjadi perkara biasa hingga tidak langsung memikirkan implikasi kepada agama dan keturunan.

“Justeru, Imam Muda mampu menterjemahkan satu lagi sajian buat penonton, khususnya golongan remaja, dalam memupuk nilai murni.

“Definisi imam itu terlalu luas, namun usahlah program seperti ini dijadikan sebagai perkara rumit kerana Imam Muda masih sebuah program yang menyediakan elemen komersial dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat. Setiap lelaki adalah imam kerana mereka adalah pemimpin.

“Selama ini kita mencari atau mengingati imam hanya ketika mahu berkahwin, bila berlaku kematian atau majlis kenduri.

“Jadi, saya ingin sekali mengembangkan peranan imam yang tidak hanya terus hidup dengan sandaran itu, sebaliknya imam punya pengetahuan yang melangkaui segala ilmu alam seperti UFO, permainan futsal, alam sekitar dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Misi pencariannya bermula sejak Mac lalu di Kuala Terengganu, Alor Setar, Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Penelitian yang jelas menunjukkan sambutan orang ramai sangat menggalakkan meskipun ia tidak langsung memberi tapak populariti seperti mana program realiti lain.

Juaranya nanti dijanjikan ganjaran berbaloi, termasuk penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran jawatan imam di sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta kereta.

Juara juga membawa pulang wang RM20,000 dan komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.

Pengetuanya, mantan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz berperanan penting dalam membentuk sahsiah, nilai murni, disiplin serta suntikan komersial pada ketrampilan setiap peserta.

“Tanggungjawab saya bukan mudah. Walaupun punya pengalaman luas sebagai imam, tugas saya bukan hanya menyuntik karakter seorang imam, sebaliknya kredibiliti seorang pemimpin harus diterapkan secara dalaman supaya personaliti mereka tampak lebih dinamik.

“Saya memandang setiap peserta sebagai insan yang terpilih untuk dijadikan sebagai contoh dan idola kepada golongan remaja lain. Maklumlah, siapa sangka anak muda boleh menjadi imam yang bertauliah.

“Justeru, wajib bagi saya memastikan setiap peserta lengkap dengan perisai masing-masing yang tidak hanya pada aspek ilmu agamanya, namun pada disiplin, etika, protokol dan perwatakannya sekali.

“Peserta akan didedahkan dengan pelbagai kelas intensif. Aspek penampilan dan karakter diri juga akan dibongkar dengan terperinci supaya setiap peserta mampu berkomunikasi dan bergaul dengan lebih terbuka. Mereka juga akan diberi kelas Bahasa Arab dan Inggeris bagi menguatkan lagi latar belakang kepemimpinan mereka,” katanya.

Hassan turut menitikberatkan soal bacaan dan kelancaran mengalun ayat suci Al-Quran. Tambahnya, sukar untuk dicari seorang imam yang mempunyai suara merdu hingga mampu menarik jemaah untuk berpusu-pusu ke masjid.

“Jika kita di Makkah, kemerduan suara imamnya lebih menjadi daya penarik untuk orang ramai berasak-asak merebut peluang mendengar bacaan solat dan ceramahnya.

“Begitu juga dengan kelancaran serta kepetahan seseorang imam itu tatkala menyampaikan khutbah. Jika imam bijak bermain dengan kata-kata atau ucapannya, pasti jemaah akan menumpukan sepenuh perhatian pada khutbah yang disampaikan.

“Itu yang cuba saya lakukan dengan memanggil roh untuk masuk ke dalam diri setiap peserta supaya bacaan dan lontaran vokalnya bisa memberi impak kepada sesiapa saja yang mendengar.

“Jika yang hadir menyerah bakatnya punya kelebihan wajah yang kacak, itu adalah bonus kerana dalam Islam sendiri, ketampanan Nabi Yusuf sememangnya boleh menarik orang dalam mengikutnya beramal,” katanya seloroh.

Program kerjasama Astro dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertujuan mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia selain menaikkan imej imam.

Hanya orang muda dapat mendidik jiwa rakan sebaya. Dengan itu diharapkan dengan kemunculan Imam Muda boleh membimbing remaja ke arah kebaikan. Siri pencarian Imam Muda bakal membuka tirainya di Astro Oasis bermula 27 Mei ini.

Rujukan

Posted by 1 Response
 

Free Email Newsletter

Stay Updates with this Blog. Get Free email newsletter updates..

And then confirm your email subcription

   

One Comment to “Imam Muda – Astro Oasis”

  1. nabil says:

    astro oasis bleh buka dak?
    .-= nabil´s last blog ..[ Review] : i- Pad =-.

Leave your comment here:

May
25
2010
 
Facebook
Online