Gulatis Pula Saman Zahnita

Gulatis Pula Saman Zahnita

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Belumpun perbicaraan kes samannya terhadap syarikat tekstil Gulatis Exclusive Sdn Bhd didengar, kini model Zahnita pula disaman Gulatis kerana mengeluarkan pernyataan fitnah kepada syarikat itu.

Dalam saman fitnah yang difailkan Februari lepas, Gulatis menuntut gantirugi RM15 juta bagi gantirugi fitnah, teruk dan teladan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang Zahnita sama ada secara sendiri atau melalui ejennya mengeluarkan semula perkataan fitnah itu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid menetapkan 8 Okt ini bagi pengurusan kes saman itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya pada Isnin.

Pada 11 Dis tahun lepas, Zahnita menyaman Gulatis kerana menggunakan gambarnya di poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya dan mendakwa beliau telah mengalami kerugian besar ekoran pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil Jakel Trading kerana perkara itu. Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Ogos ini.

Gulatis dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson telah mengeluarkan perkataan fitnah dalam pernyataan tuntutannya itu.

Syarikat itu berkata antara perkataan fitnah itu ialah bahawa Zahnita tahu gambar yang digunakan Gulatis itu bukan miliknya (Zahnita) dan dia bersetuju supaya gambar itu digunakan oleh Gulatis dengan bayaran RM5,000.

Gulatis berkata selepas saman berjumlah RM2 juta itu difailkan oleh Zahnita, gambarnya (Zahnita) masih lagi digunakan oleh Jakel.

Gulatis berkata kenyataan fitnah itu telah diterbitkan di akhbar-akhbar tempatan pada keesokan harinya dan melalui televisyen pada hari yang sama.

Syarikat itu mendakwa perkataan itu membawa maksud antaranya syarikat itu penipu, tidak amanah, mengeksploitasi dirinya dan lanun cetak rompak.

Akibat itu, jualan barangan syarikat itu telah merosot malah pelanggan borong mula menangguhkan bayaran kepada syarikat itu.

Sumber — BERNAMA

Filed Under: Gosip

Tags: , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply




If you want a picture to show with your comment, go get a Gravatar.