2 Alam – Lulus 100 peratus
httpv://www.youtube.com/watch?v=Bo5YQ663ViQ
“SAYA sudah jangka 2 Alam akan lulus bersih kerana ceritanya berkisarkan mengenai perkara yang berlaku dalam masyarakat. Saya hanya mengajak masyarakat menjauhi perkara yang tidak elok dan menunjukkan balasan Allah kepada mereka yang melakukan kejahatan dan perlu bertaubat,” kata Datuk Dr Rozmey Che Din
.
Sebelum ini, tercetus polemik berpanjangan mengenai tarikh sebenar tayangan filem terbitan Dr Movie Production itu yang dikatakan akan mula ditayangkan pada 27 Mei lalu, sedangkan kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) belum diterima.
Bagaimanapun, isu itu berakhir kelmarin apabila Pengerusi LPF, Datuk Mohd Hussain Shafie mengesahkan sudah memberi kelulusan bersih tanpa sebarang potongan untuk filem itu pada 26 Mei lalu. Beliau turut mengulas kenyataan Dr Rozmey mengenai tarikh tayangan filem 2 Alam yang diuar-uarkan pada 6 Mei lalu dan kemudian ditukar kepada 27 Mei sebagai satu strategi untuk meraih perhatian penonton.
Mengulas kenyataan itu, Dr Rozmey berkata masalah itu tidak timbul kerana sebagai ahli perniagaan dia perlu merangka strategi supaya filemnya ini dinanti-nantikan oleh peminat sekali gus mencipta fenomena baru sesuai dengan sasaran kutipan RM12 juta.
“Saya mengakui itu adalah strategi. Kami mula membuat suntingan filem ini pada 20 Februari lalu dan sejak itulah saya mula membuat promosi untuk filem 2 Alam. Sebaik habis penggambaran pada Februari lalu, saya terus pukul canang mengenai kehebatan 2 Alam hingga ramai peminat teruja.
“Itulah matlamatnya kerana saya mahu menarik penduduk Malaysia ramai-ramai datang menonton. Kalau dua juta rakyat Malaysia datang tengok pun senang-senang kita dapat RM20 juta. Saya yakin jumlah ini tidak mustahil untuk dicapai. Sebagai ahli perniagaan saya mesti positif.
“Semalam (27 Mei) ramai peminat menyerbu pawagam kerana mahu menonton 2 Alam. Malah laman facebook (fb) saya penuh dengan komen peminat yang tidak sabar-sabar menunggu tayangan 2 Alam. Cerita mengenai kehebatan filem ini sudah sampai ke telinga ramai. Inilah fenomena baru yang saya mahu cipta. Tak mustahil saya boleh dapat kutipan sehingga RM20 juta,” katanya.
Dr Rozmey menjelaskan dia sedang berbincang dengan pemilik pawagam dan meletakkan sasaran untuk menayangkan filem ini pada 10 Jun ini. Namun, dia tidak mahu membuatkan peminat ternanti-nanti tarikh tayangan sebenar.
“Saya tak mahu heboh-hebohkan dulu kerana ia hak pemilik pawagam. Kalau boleh, saya mahu filem ini ditayangkan di 100 pawagam termasuk pawagam bebas,” katanya.
Mengenai cakap-cakap mengatakan keengganan pihaknya mengadakan prebiu filem ini kepada media kerana bimbang dikritik, Dr Rozmey menafikannya.
“Insya-Allah saya akan buat tapi buat masa ini fokus saya adalah dengan pihak pawagam dulu. Saya tak takut dengan komen wartawan. Biarlah penonton yang nilai sendiri “Saya bangga kerana Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz pun sanggup tengok filem ini dan anggap ia berkualiti,” katanya.
Filed Under: Hiburan












